Friday, 27 January 2017

Playlet Ruang Peribadi )karya asal Encounter by Renee boyer) di adaptasi longgar oleh Sakdon di dalam bahasa melayu)



Latar tempat : Disebuah taman yang nyaman, tenang dan damai.
Kelihatan Hafiz sedang duduk menenangkan fikiran diatas sebuah kerusi ditaman tersebut sambil mendengar muzik. Wan masuk.

Wan         :     Boleh saya...
Hafiz       :     (membuka ‘earphone’) Ya?
Wan         :     Boleh saya duduk?
Hafiz       :     Oh, sila sila. (memakai kembali ‘earphone’nya)
Wan         :     Terima kasih.

Wan duduk bersebelahan dan rapat dengan Hafiz. Hafiz memandang Wan dengan pandangan yang mencurigakan namun Wan memandang ke arah lain sambil tersenyum. Hafiz cuba mengalihkan kedudukannya ke bahagian lain daripada bangku tersebut namun Wan juga turut menggerakkan kedudukannya dan terus menerus mendekati Hafiz. Apabila Hafiz memandang Wan, Wan berpaling ketempat lain sambil tersenyum. Perkara ini berterusan sehingga Hafiz berada di penjuru kerusi. Hafiz melompat bangun dan membuka ‘earphone’nya.

Hafiz       :     Apa kau buat ni?
Wan         :     Apa saya buat?
Hafiz       :     Apa kau buat? Kenapa kau duduk dekat-dekat dengan aku?
Wan         :     Saya mengganggu abang ke?
Hafiz       :     Sangat mengganggu!
Wan         :     Kenapa?
Hafiz       :     Kenapa? Eh apa kau maksudkan dengan kenapa?!
Wan         :     Iyalah, apa yang menjadi masalahnya kalau saya duduk
bersebelahan dengan abang?
Hafiz       :     Masalahnya aku tak kenal kau.
Wan         :     Jadi?
Hafiz       :     Yelaa.. okey sekarang bangku ni besar. Kenapa kau nak kena
duduk sebelah aku?
Wan         :     Tak. Saya tak duduk sebelah abang dah.
Hafiz       :     Terima kasih!

Hafiz memakai kembali ‘earphone’nya dan kembali duduk di kerusi tersebut. Wan duduk agak jauh daripada Hafiz. Setelah mendapati bahawa Wan sudah tidak berperlakuan seperti tadi, Hafiz kembali menghayati muziknya. Namun, Wan perlahan-lahan melakukan perkara yang sama sehingga Hafiz kembali melompat bangun dengan perasaan yang sangat geram.

Hafiz       :     Hey, apa masalah kau sebenarnya sekarang ni?
Wan         :     Saya tak ada apa-apa masalah. Abang yang macam ada masalah.
Hafiz       :     Apa?
Wan         :     Yelaa.. Kenapa abang nampak tak selesa bila saya duduk
disebelah abang?
Hafiz       :     Iyelaa.. kerusi ni besar dan kita cuma berdua.
Wan         :     Oh, jadi apa kata kalau ada lapan orang duduk di kerusi
ini. Adakah abang akan okey kalau ada orang duduk disebelah
abang?
Hafiz       :     Kalau macam tu tak pe lah.
Wan         :     Jadi apa bezanya?
Hafiz       :     Bezanya sekarang yang duduk atas kerusi ni cuma kita
berdua!
Wan         :     Oh, jadi maknanya abang cuma boleh duduk disebelah orang
lain bila ada ramai orang disekeliling lah ye.
Hafiz       :     Ya! Eh, kejap. Apa yang kau merepek dari tadi ni.
Wan         :     Okey mari sini duduk.
Hafiz       :     Tak nak!
Wan         :     Baik, saya duduk disini. Abang duduk lah dimana saja abang
mahu.
Hafiz       :     Tak nak! Aku nak berdiri. (sambung mendengar muzik)
Wan         :     Suka hati abang lah.

Wan berdiri dan perlahan-lahan berdiri menghampiri Hafiz.

Hafiz       :     Astaghfirullahalad’ziim!
Wan         :     Kenapa?
Hafiz       :     Kenapa kau berdiri sebelah aku pula!
Wan         :     Tak boleh ke?
Hafiz       :     Hey, kau ade masalah mental ke?!
Wan         :     Saya tak rasa saya begitu. Abang pikir saya macam mana?
Hafiz       :     Eh, mana lah aku tahu! Okey sekarang boleh tak kau
tinggalkan aku seorang diri? Aku cuma nak duduk sini
tenangkan fikiran dan mendengar muzik!
Wan         :     Okey boleh.
Hafiz       :     Terima kasih!

Hafiz duduk di penjuru kerusi dan perkara yang sama masih berulang.

Hafiz       :     Ya Allah! Apa masalah kau sebenarnya ni?!
Wan         :     Okey menarik! (mengeluarkan pen dan nota daripada begnya)
Hafiz       :     Apa yang menariknya?! Hey apa kau tulis pulak tu?!
Wan         :     Abang ada satu ‘personal bubble’ yang lebih besar daripada
orang lain.
Hafiz       :     ‘Bubble’? Aku mana ada ‘bubble’. ‘Bubble’ apa yang kau
mengarut ni?
Wan         :     Saya sekarang sedang membuat satu kajian mengenai ‘personal
bubble’ yang terdapat pada seseorang individu. ‘Personal
bubble’ ni ibarat seperti satu lingkungan ruang yang
dianggap sebagai ruang peribadi seseorang yang tidak boleh
diceroboh masuk oleh orang lain dan akan menyebabkan dia
merasa tidak selesa. Tetapi lingkungan ‘personal bubble’ ni
boleh berubah mengikut keadaan.
Hafiz       :     Keadaan?
Wan         :     Okey begini. Sekarang saya berada di dalam ‘personal
bubble’ abang dan ini membuatkan abang merasa tidak selesa
betul? Okey andai kata sekarang kita adalah pasangan
kekasih. Contoh!
Hafiz       :     Ish! Tak ingin aku nak berkasih dengan kau!
Wan         :     Tak, itu contoh. Andai kata saya sekarang kekasih abang.
Mesti abang tak kisah kan kalau kekasih abang duduk dekat
dengan abang macam ni?
Hafiz       :     Okey! Kalau kekasih aku, memang lah aku tak kisah kalau nak
duduk macam ni tapi sekarang kau bukan kekasih aku! Jadi
boleh kau kesana sikit? (menolak Wan)
Wan         :     Bagaimana pula kalau kita adalah kawan?
Hafiz       :     Apa?
Wan         :     Pejamkan mata abang.
Hafiz       :     Memang tak lah!
Wan         :     Tengok! Saya bukannya nak curi mp3 abang, saya cuma nak
abang pejamkan mata saja.
Hafiz       :     Kenapa?
Wan         :     Ayuh! Lakukan ini untuk sains. Abang cuma pejamkan mata dan
bayangkan yang saya ini adalah kawan baik abang.
Hafiz       :     Ya Allah apalah yang aku tengah buat sekarang ni.
(sambil memejam mata)
Wan         :     Okey sekarang bayangkan yang saya adalah bukan saya.
Hafiz       :     Alhamdulillah, itu yang terbaik.
Wan         :     Bayangkan yang saya adalah kawan baik abang. Erk, siapa
nama kawan baik abang?
Hafiz       :     Hmm, Fitri rasanya.
Wan         :     Okey sekarang saya adalah Fitri. Saya akan bergerak
menghampiri abang, sebagai Fitri, dan beritahu saya bila
abang merasa tidak selesa.

Wan menghampiri Hafiz semakin lama semakin dekat sehingga tersangatlah dekat.
Hafiz       :     Okey, okey berhenti!
Wan         :     Jadi andai kata saya ini Fitri, abang akan rasa lebih
selesa?
Hafiz       :     Agaknya begitulah. Cuma sekarang ini agak susah aku nak
membayangkan yang kau ni Fitri!
Wan         :     Baik jom kita cuba satu benda yang lain pula. Sekarang
abang berdiri!
Hafiz       :     Pernah tak ada orang cakap yang kau ni kaki mengarah?
Wan         :     Selalu. Okey sekarang abang bayangkan kita dalam satu
gerabak keretapi yang penuh dengan orang ramai.
Hafiz       :     Aku rasa sekarang aku dah faham apa yang kau maksudkan.
Maknanya kalau aku dalam keretapi, aku akan duduk di
tempat yang tak ada orang sebab aku tak kenal orang dalam
keretapi tu dan aku akan cuba sedaya upaya untuk mengelak
daripada bersentuhan dengan orang dalam gerabak keretapi tu
betul?
Wan         :     Ya tepat sekali! Jadi itulah contoh-contoh keadaan yang
membolehkan ‘personal bubble’ abang berubah mengikut
keadaan yang saya maksudkan tadi.
Hafiz       :     Hello! Ni bukan cerita atau rancangan ‘discovery science’
atau apa-apa yang kau buat aku dah macam tikus makmal
disini!
Wan         :     Tak adalah, saya cuma mahu menguji hipotesis saya mengenai
lingkungan ‘personal bubble’ yang boleh berubah mengikut
keadaan sahaja. Boleh juga diuji dalam bentuk imaginasi
dengan mewujudkan sesuatu keadaan atau situasi.
Hafiz       :     Argh! Sudahlah. Aku tak nak masuk campur lagi pasal kajian
kau yang mengarut ni!

Hafiz mahu beredar dari tempat tersebut namun tersentak melihat keadaan Wan yang secara tiba-tiba berubah emosinya menjadi sedih dan kelihatan seperti ingin memberitahu sesuatu.

Hafiz       :     Eh, dah kenapa pula dengan kau ni?
Wan         :     Abang Hafiz.. saya tak tahu macam mana nak cakap dengan
abang pasal perkara ini.
Hafiz       :     Kau nak cakap pasal apa lagi? Eh kejap! Macam mana kau
boleh tahu nama aku?
Wan         :     Sebenarnya saya tahu lebih daripada itu. Nama mak abang
Laila kan? dan abang dilahirkan pada 10 November 1990 kan?
Hafiz       :     Ya, ya betul tu. Tapi macam mana kau boleh tahu?
Wan         :     Abang ada seorang adik lelaki bernama Hairul yang muda dua
tahun daripada abang. Ayah abang bernama Halim, tetapi dia
telah menghilangkan diri selepas setahun Hairul dilahirkan.
Hafiz       :     Betul! Eh apa dah berlaku ni? Kau ni siapa?! Macam mana kau
boleh tahu semua pasal aku? Kau ni penyiasat kah?! Apa
salah aku?!
Wan         :     Bertenang abang Hafiz, bertenang. Semuanya baik-baik
sahaja. Tak ada apa pun yang buruk berlaku. Cuma saya harap
abang bersedia kalau saya cakap..
Hafiz       :     Cakap apa? Cakap lah jangan lah buat aku tertanya-tanya!
Wan         :     Saya tak tahu macam mana nak mulakan, tapi.. sebenarnya
Halim itu adalah ayah saya juga.
Hafiz       :     Halim ayah kau? Maknanya kau ini..
Wan         :     Ya! Saya adik tiri abang Hafiz. Kita satu ayah lain mak.
Hafiz       :     Astaghfirullahalad’ziim. Ya Allah apa semua ni. Aku tak
percaya. Kejap.. macam mana aku nak mulakan.. Bila kau
tahu..? Macam mana kau boleh tahu..? Dimana.. dimana ayah
sekarang..? Halim.. Sekarang?

Wan         :     Saya tak tahu. Dia tidak bersama dengan mak saya begitu
lama.
Hafiz       :     Ya Allah. Wow. Maaf.. Maafkan abang, benda ni sangat pelik.
Tapi.. Maaf, siapa nama kau?
Wan         :     Azwan. Panggil saya Wan.

Hafiz bersalaman dengan Wan dan berpeluk kecil dengan Wan dalam keadaan yang masih belum dapat menerima keadaan tetapi cuba untuk menerima juga.

Hafiz       :     Jadi.. aduh abang betul-betul tak tahu nak mulakan macam
mana. Wan tinggal dimana? Apa Wan buat sekarang?
Wan         :     Oh, saya sebenarnya tinggal di Johor. Saya disini pun atas
sebab menyambung pelajaran di universiti dan saya sekarang
sedang belajar dalam bidang psikologi.
Hafiz       :     Oh iya, yang ‘bubble bubble’ tadi kan. Lupa dah abang pasal
tadi, hahaha. Eh, macam mana Wan boleh tahu nak cari abang
disini?
Wan         :     Hahaha, sebelum tu saya nak tanya abang. Abang rasa selesa
ke duduk dengan saya dalam keadaan macam ni?
Hafiz       :     Ha! Mestilah. Wan kan dah kira macam adik abang juga.
Kelakar kan... (tersentak tiba-tiba) Kejap. Tadi Wan ada
cakap pasal hipotesis mengenai keadaan mengubah lingkungan
personal bubble’ kan?
Wan         :     Ha’ah, menarik bukan?
Hafiz       :     Hipotesis yang boleh diuji dengan menggunakan imaginasi
dengan mewujudkan sesuatu keadaan atau situasi?
Wan         :     Iyaa. (tersenyum gembira)
Hafiz       :     (berhenti seketika) Jadi maknanya sekarang.. kita..?
Wan         :     Bukan.. sorry. (tersenyum sambil membuat reaksi tangan
meminta maaf)

Hafiz       :     (berdiri dan betul-betul marah) Kurang ajar! Tak guna kau
main-mainkan aku! Siapa yang beritahu kau semua pasal latar
belakang keluarga aku yang kau cakap tadi ha?!
Wan         :     (dalam keadaan agak ketakutan) Erk.. Hairul bang.
Hafiz       :     Argh! Siap kau Hairul! Aku balik nanti teruk aku kerjakan
kau cukup-cukup! dan kau! dengan segala apa ‘bubble’ yang
kau merepek dengan aku tadi! Aku nak ‘report’ dekat
universiti yang kau belajar sekarang! Kau tak boleh buat
kajian yang mengarut dan menyusahkan orang macam ni! Mana
bukti kau? Mana surat kajian kau! Mana?! Kau ingat aku
bodoh?
Wan         :     Erk.. saya tak ada surat bang. Saya buat ni pun suka-suka
saja sebab saya nak melatih diri saya untuk buat kajian
nanti. Lagipun sekarang saya tengah cuti sem bang. Pejabat
universiti semua tutup. Saya pun tak tahu macam mana abang
nak pergi ‘report’ nanti kalau pejabat tutup. (dalam
keadaan ketakutan)

Hafiz terdiam mendengar kata-kata Wan dan dalam keadaan yang sangat marah dan geram dengan mata yang besar dan tangan yang menggeletar, Hafiz pergi meninggalkan Wan dengan menghentak-hentak kaki ke tanah menunjukkan betapa marahnya keadaan Hafiz pada ketika itu.

Wan         :     Jangan lah marah sampai macam tu sekali. Hmm.. macam mana
ni. Tak cukup lagi ni. (sambil memandang dan menyelak-
nyelak buku notanya)

Masuk seorang pelakon tambahan lengkap berpakaian sukan kelihatan sedang bersenam dipinggir kerusi tersebut. Wan memandang kearah lelaki tersebut dan tersenyum menghadap penonton dengan senyuman yang penuh bermakna. Lampu ditutup.


- TAMAT -

No comments:

Post a Comment